Sunday, February 6, 2022

KISAH KUCING TELADAN

Seminggu yang lalu, rumah didatangi dengan seekor kucing betina hitam sedikit bertompok coklat.
Kucing ini bukan hanya singgah tetapi sehari demi sehari menjadikan rumah sebagai tempat berteduh.
Anak- anak memang suka sangat dengan haiwan berbulu ini. Berbeza dengan ibu mereka ini memang penakut terutamanya yang yang bergelar kucing. Saya memang kurang menggemari anak-anak bermain kucing di atas faktor kesihatan. Anak yang bongsu terutamanya selepas main kucing tanpa sedar tangan dah masuk mulut. Suara ibu ini lah yang selalu memperingatkan anak-anak lepas bermain kucing , sila basuh tangan!!!

Dek kerana keletihan melarang mereka, timbul niat dan hasrat supaya letakkan kucing ini jauh daripada rumah. Ditambah lagi pada satu malam, kucing tersebut terperangkap di dalam rumah kerana pintu semua bertutup lalu membuang najis dalam rumah.😞 Nasib baik , ia membuang najis di dalam tandas. Bijak! Agaknya kucing ini pernah bertuan sebelum ini. Ekoran insiden ini, menguatkan lagi perasaan untuk jauhkan lagi kucing ini dari rumah.

Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan saya berlembut hati dan mengizinkan anak-anak terus memelihara kucing tersebut. Kucing tersebut membalas budi baik anak-anak yang sentiasa memberikan makanan untuknya dengan menjaga keselamatan rumah. Kucing tersebut telah memakan seekor anak ular yang masuk ke dalam rumah. Kami hanya menyedari hal tersebut pada awal pagi kerana nampak ada ekor hitam di atas lantai. 

Terima kasih Allah, terima kasih kucing. Peristiwa ini menjadi satu peringatan buat saya akan satu hal ini. Tidak Allah menghadirkan sesuatu itu tanpa tujuan. Hanya kita yang belum menyedari tujuan baik tersebut. Walaupun kita sebaik-baik makhluk yang Allah jadikan tiada salahnya meneladani seekor haiwan dalam membalas budi. 

Kini, kucing tersebut telah pun bergelar ibu dengan melahirkan 4 ekor anak yang comel dengan bantuan perbidanan daripada anak sulung. Semoga mereka terus membesar dengan baik dan bertambah comel.

No comments:

Post a Comment

TIPS REPLY WHATSAPP PELANGGAN

Buat masa ini, medium whatsapp menjadi medium utama perhubungan untuk ibubapa yang mahu bertanyakan berkenaan kelas, jadual, yuran dan sebag...